Friday, June 26, 2009

Disebalik Kematian Micheal Jackson



Saya terperanjat bila pagi ini mendapat berita mengenai kematian penyanyi pop terkemuka Micheal Jackson. Ramai yang turut merasai kesedihan dengan berita ini termasuklah saya. Sewaktu hati saya sayu melihat berita-berita kematiannya di saluran CNN saya terfikir sejenak betapa hebatnya ciptaan Allah ini. Allah menciptakan dalam jiwa kita rasa kasih dan sayang rasa sedih sayu, simpati dan sebagainya tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama atau pun negara. Seperti kematian Micheal, kematiannya bukan sahaja dirasai oleh mereka yang sebangsa atau seagama tapi tempiasnya turut kita rasai. Walhal dia tidak pernah mengenali saya meskipun saya mengenalinya disebabkan popularitinya. Saya membesar seiring dengan perkembangan kariernya dan menghargai sumbangannya terhadap manusia sejagat.
Kenapa saya sedih?

a) Kerana saya menghargai sumbangannya
b) Kerana saya melihat liku-liku kesukaran yang dihadapinya satu persatu
c) Kerana kekecewaannya menerima dirinya sendiri
d) Kerana melihat ramai yang menyayanginya
e) Sifatnya yang menghargai peminatnya
f) Kerana saya mendapat tahu dia seorang Islam



Saya menjadi insaf dengan sifat-sifat kurniaan Allah swt ini. Pengalaman di Jepun dimana saya dan suami serta anak-anak tinggal di kawasan yang dihuni hanya oleh rakyat Jepun dan tiada rakyat Malaysia membolehkan kami hidup atas sifat kasih sayang ini. Kami menyayangi rakan-rakan warga Jepun selain sebuah keluarga Jepun yang menjadi ibu, ayah, abang, kakak dan adik kami serta anak-anak buah kami. Waktu ingin berpisah, semua kami menangis bagaikan darah daging sendiri!
Saya dan suami serta seorang teman dari Perancis turut bersedih tatkala mahu berpisah kerana rakan saya itu ingin meneruskan misinya mengelilingi dunia dengan menggunakan traknya. Sepanjang beberapa bulan di Malaysia dia menghabiskan masa 3 minggu bersama kami setiap hari menjadikan kami akrab. Indahnya ciptaan Allah itu. Kami tiada ikatan persaudaraan bahkan dia seorang yang tiada agama tapi Allah tetap menjadikan rasa kasih sayang itu wujud dihati setiap manusia. Bagitu juga yang terjadi kepada seluruh insan dimuka bumi ini.
Namun satu persoalan oleh suami saya...Kenapa ada orang sanggup membunuh? Saya termenung memikirkannya!

Thursday, June 25, 2009

Perginya Seorang Guru (Utusan Malaysia 16/5/05) - Sebelum di edit

PERGINYA SEORANG GURU
Pada 7-5-2006 yang lalu sekitar jam 9 malam ketika saya masih di premis perniagaan lagi kami didatangi seorang sahabat suami saya yang seorang guru memaklumkan kematian seorang guru SMK Sg Choh Rawang akibat serangan jantung. Guru tersebut Cikgu Zaki yang bertugas di sekolah yang sama dengan suami saya menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 8.15 malam. Setelah menutup perniagaan pada jam 10.30 malam, kami sekeluarga bergegas ke kediaman Allahyarham di Serendah. Setibanya di rumah Allahyarham, saya dapati begitu ramai kaum keluarga, kenalan dan anak murid Allahyarham yang berkumpul baik di dalam mahupun di luar perkarangan rumah. Suasana sunyi tanpa kata. Semuanya terkejut dengan pemergian Allahyarham secara tiba-tiba.
Setelah berada di sana selama kira-kira sejam kami pun pulang ke rumah. Keesokan paginya setelah menghadiahkan surah yassin, guru-guru dan sebilangan pelajar SMK Sg Choh termasuk suami saya mengunjungi jenazah Allahyarham buat kali terakhir sebelum dibawa pulang ke Kg Sg Pusu Gombak untuk disemadikan.
Saya terpanggil untuk membuat kunjungan kedua kali ke atas jenazah Allahyarham meskipun tidak mengenali Allahyarham secara peribadi. Entah kenapa berita pemergian Allahyarham turut saya rasai. Mungkin kerana saya dapat melihat kesedihan di wajah suami saya. Menurut suami saya, semasa hayat Allahyarham, beliau begitu disenangi oleh rakan-rakan seperjuangan dan juga pelajarnya. Sebaik kereta yang saya pandu membelok untuk memasuki taman di mana kediaman Allahyarham terletak, saya melihat berpusu-pusu pelajar dari SMK Serendah berjalan kaki dari sekolah menuju ke rumah Allahyarham yang terletak lebih kurang setengah kilometer dari sekolah bagi memberi penghormatan buat kali terakhir. Majoriti pelajar SMK Serendah mengenali Allahyarham Cikgu Zaki kerana sebahagian besar mereka adalah bekas pelajar SMK Sg Choh yang berpindah ke SMK Serendah sebaik sekolah itu dibuka awal tahun lepas. Hati saya tiba-tiba menjadi sayu melihat hampir keseluruh pelajar sekolah tersebut berduyun-duyun berjalan ke satu destinasi iaitu ke rumah Allahyarham cikgu Zaki. Saya sempat menumpangkan 4 orang pelajar bersama saya kerana kereta saya kebetulan kosong di bahagian belakang.
Setiba di rumah Allahyarham saya melihat begitu ramai sekali orang berkumpul. Di ruang tamu dan perkarangan rumah majoriti dipenuhi oleh pelajar sekolah. Saya melihat beberapa orang pelajar yang tidak dapat menahan sebak menangis tanpa henti di bahu rakan. Selebihnya dapat mengawal perasaan meskipun saya dapat melihat kesedihan di wajah mereka. Suasana begitu hening. Tanpa disedari airmata saya mengalir. Begitu sekali Allahyarham cikgu Zaki dihargai oleh pelajar-pelajarnya. Tentunya Allahyarham seorang cikgu yang hebat.
Ketika jenazah hendak diangkat untuk dimandikan saya melihat beberapa orang pelajar tampil untuk turut mengangkat jenazah Allahyarham. Begitu juga ketika jenazah siap dikafankan dan keluarga terdekat dipanggil untuk menatap wajah buat kali terakhir dan mengucup pipi Allahyarham. Pelajar lelaki berselang seli mengambil bahagian mengucup pipi guru kesayangan mereka disamping kaum keluarga Allahyarham. Suasana menjadi begitu hiba. Saya melihat begitu ramai sekali pelajar Allahyarham menitiskan airmata. Airmata saya turut mengalir tanpa henti. Hati saya tersentuh melihat begitu bernilainya seorang guru.
Takkala tiba masanya untuk sembahyang jenazah, ramai pelajar Allahyarham yang saya lihat mengambil wuduk dan turut mengiringi sembahyang jenazah. Semuanya dibuat dengan penuh rasa kasih pada guru tanpa disuruh oleh sesiapa. Sampai di situ berakhirnya perjuangan Allahyarham Cikgu Zaki dalam memberikan ilmu kepada anak bangsa.
Hasrat untuk menunggu sehingga jenazah dibawa keluar saya batalkan sebaik menerima panggilan talipon dari suami saya yang memaklumkan beliau akan mengiringi jenazah ke Kampung Sungai Pusu Gombak. Saya bergegas pulang dan singgah di Sekolah Menengah Sungai Choh bagi menemui suami saya. Sebaik suami saya dan rakan-rakannya serta beberapa orang pelajar menaiki kenderaan, saya tiba-tiba dikerumuni oleh hampir 10 orang pelajar yang memaklumkan ingin mengikut saya kerana mereka menyangka saya akan turut sama mengiringi jenazah ke Kampung Sungai Pusu. Saya terkilan kerana tidak dapat membawa mereka ke kampung Allahyarham kerana terpaksa menguruskan anak-anak saya yang masih bersekolah. Ternyata mereka hampa dengan jawapan saya. Begitulah sayangnya mereka kepada cikgu mereka Allahyarham cikgu Zaki.
Kini Allahyarham Cikgu Zaki telah pergi buat selama-lamanya. Yang tinggal ialah ilmu yang manafaat dicurahkan buat mereka yang pernah mengenalinya. Ilmu yang telah dicurahkan akan terus memberi manafaat kepada Allahyarham dan semua guru-guru yang telah pergi dan semoga ianya terus membawa kebaikan meskipun guru telah tiada lagi di muka bumi ini.
Apa yang saya lalui pada hari tersebut membuat saya berfikir tentang betapa hebatnya kerjaya seorang guru. Kata suami saya kalau setiap pelajar menghadiah surah alfatihah untuk gurunya, bayangkanlah kalau dua buah sekolah yang berbuat demikian.
Teringat kata-kata ibu saya bahawa kerjaya sebagai guru adalah yang paling mulia. Ibu ingin sekali melihat saya menjadi seorang guru. Ibu saya tidak berpeluang mendapat pendidikan formal di sekolah tapi begitu tinggi ibu meletakkan kerjaya guru. Saya pernah cuba memohon untuk menjadi seorang guru sebaik tamat alam persekolahan tapi mungkin saya tidak cukup pandai menyebabkan permohonan saya gagal. Meskipun saya gagal menjadi seorang guru tapi suami saya adalah seorang guru. Cukuplah untuk mengubati rasa terkilan di hati ibu. Ibu selalu mengingatkan bahawa saya adalah isteri seorang guru.
Kini saya mengerti maksud ibu. Betapa mulianya tugas seorang guru. Sebagai isteri kepada seorang guru saya cukup memahami segala perit jerih yang terpaksa dilalui oleh seorang guru. Pengorbanan guru tak mungkin dapat dibalas. Kata ibu, tanpa guru, tak mungkin ada orang yang boleh menjadi doktor, arkitek, engineer dan sebagainya. Berbeza bagi sesetengah orang yang melihat profesion perguruan sebagai pilihan terakhir setelah gagal mendapatkan kerjaya yang lebih popular seperti doktor, peguam dan sebagainya.
Meskipun hari ini saya mempunyai perniagaan sendiri walaupun bukanlah perniagaan yang besar namun saya berbangga kerana tanpa jasa guru tak mungkin saya berada di sini. Tanpa guru tak mungkin saya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Satu demi satu wajah guru yang pernah mengajar saya terbayang di ruang mata. Dengan usia saya memasuki awal 40an, masih sihatkah guru-guru saya atau telah pergi buat selama-lamanya?
Dikesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Guru buat semua guru-guru. Kepada semua guru-guru yang pernah mengajar saya iaitu di Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung (1973-1978) dan Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah (1979-1785) jasamu guru tak mungkin dapat kubalas. Sesungguhnya jasamu amat mulia dan ganjarannya hanya Allah yang layak memberinya.
Kepada semua masyarakat, saya menyeru agar kita dapat mendidik anak-anak kita supaya terus menghormati dan menghargai guru. Janganlah kita mudah menuding jari kepada guru. Sesungguhnya mereka juga adalah insan biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Bagi saya martabat seorang guru itu adalah terletak di tangan kita sendiri iaitu masyarakat kerana guru adalah sebahagian dari masyarakat.
SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU