Wednesday, May 16, 2012

Pertandingan Perahu Layar Peringkat Antarabangsa

Bagan Lalang 14 May 2012


Saya diajak menemani suami bagi menjemput 3 orang pelajarnya yang mengikuti kursus penulisan di Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang Sepang yang berakhir pada 14 May 2012. Pagi-pagi lagi saya sudah menerima pesanan ringkas dari 2 orang pekerja saya memaklumkan mereka terpaksa bercuti atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Meskipun kesal dengan keputusan mendadak dari mereka, saya terpaksa terima dan membuat keputusan menutup perniagaan pada hari tersebut. Namun satu lagi halangan untuk saya pergi bila kelas tuition anak saya telah ditunda ke tarikh yang sama saya ingin ke Sepang. Kasihan suami yang mengharapkan saya menemaninya. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan En Ishak yang sudi menjemput anak saya pulang dari tuition.

Kami bertolak dari Rawang jam 8.30. Setelah menghantar anak ke kelas tuition dan selesai bersarapan kami terus menuju ke Banting. Tidak banyak gambar-gambar yang dirakam kerana saya memandu. Kali terakhir saya ke daerah ini ialah pada pertengahan tahun lepas bagi membawa 2 orang pelajar praktikal saya bercuti bersama kami sekeluarga di pantai Morib. Melewati pekan Banting mengimbau kenangan kami yang pernah tinggal di daerah ini selama 5 tahun. Malah anak sulung saya turut dilahirkan di hospital Banting. Teringat betapa sukarnya saya terpaksa berulang alik dari Banting ke Kuala Lumpur demi tugas. Bangun seawal jam 4 pagi, memasak, dan memulakan perjalanan dengan van kepunyaan Iskandar yang turut bekerja di Kuala Lumpur. Saya terus terlelap selepas 15 minit memulakan perjalanan dan hanya bangun bila tiba di Kuala Lumpur. Ada kalanya saya tersedar saya berdengkur...kepenatan agaknya. Tiba kembali di Banting sekitar jam 7 malam dan suami setia menunggu di tepi jalan besar bertentangan dengan balai polis Banting.

Mengisi petrol di Shell

Namun balai polis tersebut kini telah jauh berubah wajah. Binaan dengan konsep yang jauh lebih moden kelihatan begitu menakjubkan. Bandar Banting juga telah berubah wajah berbanding 20 tahun yang lalu. Teringat kak Yati yang telah membantu menjaga anak saya sepanjang saya dan suami bekerja. Suaminya meninggal akibat barah hati. Saya sempat menziarahi suaminya di HKL dan keadaannya ketika itu sangat uzur. Selain itu kak Ida turut menyumbang tenaga menjaga anak saya selepas kematian suami kak Yati. Kak Ida yang turut kematian suami akibat kemalangan jalan raya kini menetap di Bukit Changgang dan saya telah berkesempatan menziarahinya satu waktu dulu.

Kami meneruskan perjalanan. Tugu raket badminton masih berdiri kukuh di hadapan rumah Hj Sidek sebagai penghargaan dari kerajaan Malaysia terhadap beliau kerana telah berjaya mendidik anak-anaknya dalam permainan badminton sehingga mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Kami tiba di Bagan Lalang sekitar jam 12 tengahari dan terperanjat bila melihat banyak kapal layar tersadai di pantai. Kami cuba singgah bagi meninjau apa yang berlaku. Kami melihat ramai kaum wanita yang sedang memasak di bawah pondok yang dibina. Kedatangan kami diterima baik oleh mereka.

Kaum wanita sibuk memasak juadah untuk dihidangkan kepada tetamu.

Seterusnya kami menuju ke arah pantai dimana puluhan atau ratusan perahu layar memenuhi kawasan tersebut. Sebaik kami tiba di deretan perahu layar, suami terus disapa rakan baiknya En Aziz yang merupakan presiden Persatuan Perahu Layar Peringkat Negeri Selangor.

En Aziz merupakan rakan baik suami saya. 

Seterusnya makin ramai rakan-rakan lama suami yang datang. Kebanyakan mereka adalah guru-guru SMK Tanjung Sepat. Seronok pada pertemuan yang tidak diduga!

Bertemu rakan lama


Makin ramai rakan-rakan yang datang


Ada lagi yang datang


Peserta mula menurunkan perahu layar. Dalam gambar ialah peserta dari India yang memakai Sun Block bagi mengelak kulit dari dibakar cahaya matahari


Perahu layar mula diturunkan ke laut


Deretan perahu layar siap sedia untuk diturunkan


Sebahagian peserta masih menunggu giliran manakala sebahagian lagi sudahpun berada di dalam laut


Peserta terdiri dari kanak-kanak berusia antara 9-15 tahun


Semakin banyak perahu layar yang sudah diturunkan


Kami diajak menjamu selera di kemah yang disediakan malah turut ditahan bagi juadah makan tengahari namun terpaksa ditolak kerana pelajar suami saya hampir tamat kursus mereka


Semakin jauh perahu layar menuju ke tengah laut


Negara-negara yang terlibat dapat dilihat melalui bendera yang dikibar


Nampaknya suami saya lebih berminat untuk mengambil gambar kereta barunya dari gambar saya!


Jalan masuk ke Kampung Kundang. Teringat arwah Asrin yang meninggal pada usia yang sangat muda


Sepang Gold Coast

Seterusnya kami meneruskan perjalanan melewati Kampung Kundang. Di sinilah arwah Asrin yang meninggal pada usia yang sangat muda tinggal semasa hayatnya. Seterusnya kami turut singgah di Sepang Gold Coast. Sewa bagi satu chalet mencecah hingga RM750 satu malam.

Suami saya bergambar dengan Sepang Gold Coast kelihatan dibelakangnya


Chalet Persatuan Nelayan Bagan Lalang

Seterusnya kami singgah di chalet Persatuan Nelayan Bagan Lalang. Kadar sewa antara RM90 hingga RM110 bergantung kepada musim cuti. Terdapat lebih kurang 20 chalet menanti pengunjung dengan kemudahan satu bilik berhawa dingin dengan sebuah katil double dan sebuah katil single dan ruang rehat dan tandas serta bilik air.

Khemah-khemah boleh dipasang di pantai Bagan Lalang dengan pemandangan yang menarik


Pantai Bagan Lalang - dulunya terkenal sebagai tempat mengutip kepah. Saya masih ingat saya sering memungut kepah yang banyak terdapat di sini. Meriah setiap kali kaki dapat merasai kewujudan kepah di tanah berlumpur

Kami pulang pada jam 1 tengahari setelah menjemput pelajar suami saya di Hotel Seri Malaysia. Kami singgah di kedai menjual kerepek dan membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang.
Satu perjalanan yang agak menarik kerana berkesempatan menyaksikan pertandingan perahu layar peringkat antarabangsa.