Terminal bas Rawang lengang
2010/05/28
TERMINAL bas Rawang sudah siap sepenuhnya dan dibuka dengan rasminya pada 7 Disember tahun lalu. Kami peniaga yang membeli lot kedai di terminal itu menarik nafas lega selepas sekian lama menunggu dan terpaksa menanggung beban kewangan akibat kelewatan terminal beroperasi.Namun nafas lega kami itu sekadar retorik, kerana hanya bas Seri Jaya dan Metro yang menggunakan terminal terbabit, itupun di bahagian tepi bangunan manakala bas mini dan teksi masih beroperasi di tempat lama.Banyak kedai terpaksa ditutup akibat tidak dapat menampung sewa, tidak kurang juga yang bertukar tangan kerana sudah tidak mampu lagi menanggung kos.
Di bahagian hadapan bertentangan pasar raya Mydin, kelihatan banyak lot tempat letak bas ekspres, namun sehingga kini cerita bas ekspres seakan sepi dan kami hanya melihat lot itu diganti dengan kereta dan lori kecil.
Ramai yang datang bertanya kepada kami di mana tempat untuk membeli tiket bas untuk ke Sitiawan, Ipoh atau mana-mana destinasi lagi. Saya hanya sekadar menuding ke kaunter tiket yang bertutup bagaikan stor usang sambil memaklumkan tiada bas ekspres di situ.
Menjelang jam 8 malam tiada lagi bas untuk ke Bukit Sentosa, Bukit Beruntung atau kawasan berhampiran meskipun penumpang difahamkan bas akhir ke destinasi berhampiran ialah sekitar jam 9.30 malam.
Saya diberitahu bas mengambil penumpang di tepi jalan berhampiran bomba Rawang yang secara tidak rasmi bertukar menjadi terminal baru. Bas Seri Jaya dan Metro sekadar berhenti di terminal sebagai syarat dan kemudian berhenti di tepi jalan berhampiran bomba bagi mengambil dan menurunkan penumpang.
Kami tidak tahu sampai bila kami harus menunggu. Perniagaan kami makin teruk sedangkan kami bakal berdepan tindakan bank akibat masalah pembayaran balik pinjaman.
Bagaimana nasib kami peniaga di sini? Sampai bila kami harus menanti sedangkan banyak wang sudah habis kami keluarkan untuk ubah suai dan juga untuk memulakan perniagaan.
PENIAGA KECEWA,
Rawang, Selangor.