Selamat Pengantin Baru Ponmani dan Yuvendran
Saya hampir terlupa hari ini merupakan perkahwinan seorang pekerja rakan saya Encik Rao iaitu Ponmani yang lebih selesa saya panggil sebagai Kajol. Kajol, gadis India yang lebih selesa mengenakan Punjabi Sut ketika bertugas. Saya sangat senang melihat penampilannya setiap hari dengan corak pakaian yang berwarna warni. Lot kedai hotlink dimana Kajol bekerja hanya selang dua pintu dari cafe saya.
Saya mengenali Kajol sebagai seorang wanita India tulen. Tidak hanya penampilan dari segi pakaiannya, Kajol juga masih kuat berpegang kepada adat dan budaya India meskipun rakan sebaya telah jauh berubah dari segi pakaian mahupun cara hidup. Banyak berkongsi cerita dengan Kajol ketika masa lapang menyebabkan saya terasa ingin benar menyaksikan majlis perkahwinannya. Sementelah, Kajol telah berkali-kali berpesan supaya saya hadir menyaksikan hari bahagianya.
Sebelum berhenti dari alam pekerjaan, saya dihulurkan sebuah kad undangan ke majlis perkahwinan Kajol yang tercatat 30 Jun 2012 bermula jam 7 hingga 9 malam. Berkali-kali beliau meninggalkan pesan agar saya hadir di hari bahagianya.
Panggilan telefon dari rakan saya En Rao jam 6.30 mengejutkan saya bahawa hari ini ialah hari perkahwinan Kajol. Segera saya menyuruh suami pulang awal agar tidak terlepas majlis bersejarah Kajol. Selesai solat maghrib kami bertolak ke Dewan Komuniti Serendah dimana berlangsungnya majlis perkahwinan Kajol. En Rao menalifon saya menyuruh cepat datang agar tidak terlepas majlis bersejarah itu namun masalah komunikasi menyebabkan En Rao telah tersalah faham kerana menyangka saya tidak dapat hadir dan meninggalkan majlis hanya 1 minit sebelum ketibaan saya. Saya terus mendapatkan Kajol dan suami yang begitu cantik dalam pakaian pengantin masyarakat India. Ini adalah pertama kali dalam hidup saya hadir di majlis perkahwinan bukan Melayu. Ia sesuatu yang ingin sekali saya lihat. Namun kehadiran saya yang agak lewat menyebabkan saya terlepas menyaksikan acara-acara penting dalam masyarakat India. Ini kerana majlis bermula seawal jam 7 malam dan berlaku pertindihan dengan waktu maghrib.
Ponmani ketika menyambut tetamu yang hadir memberi restu
Tali dari benang yang dipakaikan di pergelangan tangan pengantin mungkin sebagai
merestui perkahwinan kedua pasangan pengantin ini
merestui perkahwinan kedua pasangan pengantin ini
Cuba memahami apa yang dilakukan oleh masyarakat India terhadap pasangan pengantin
Gembira dapat mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin
Ponmani dan Yuvendran
Kenangan kami sekeluarga bersama pasangan pengantin baru
Pengantin dalam pakaian tradisional masyarakat India dengan
ditemani pengapit masing-masing
Apa yang dapat saya katakan ialah majlis perkahwinan Kajol atau Ponmani sangat meriah dengan begitu ramai tetamu yang hadir. Saya meminta diri sebaik selesai bertemu pasangan pengantin. En Rao menalifon dan berpesan agar saya tidak lupa menjamah ais krim wall's yang disediakan. Sebelum pulang saya sempat melihat kolam (hiasan unik dari beras) yang berbentuk burung merak terletak di bahagian entrance sebagai simbolik menyambut tetamu.
Kolam ialah hiasan yang diperbuat dari beras oleh masyarakat India. Hiasan ini dapat dilihat di hadapan pintu masuk dewan sebagai simbolik selamat datang buat tetamu yang hadir
Anak saya Afifah di pintu masuk utama yang memaparkan nama pasangan PengantinYuvendran dan Ponmani
Kereta yang dihias indah untuk membawa pasangan pengantin
Dua ekor burung merpati adalah lambang kedua pengantin
Akhir sekali kami sekeluarga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih atas jemputan dan semoga pasangan Yuvendran dan Ponmani hidup bahagia hingga ke akhir hayat