|
Anak-anak saya |
Thank you for today.
rse seronok sgt.
rase beban + 'unease feeling' tu hilang bile dpt jumpe mama. ^_^
Mase kecik, nina rse selamat sgt bile mama pgg tgn nina
sbb nina tau walau ape pn yg berlaku mama akan protect nina kan?
Mse pgg tgn mama td, yg semakin berusia, terasa urat2 di tgn mama
nina rse sedih. dalam hati nina terdetik,..
"kali ni nina plak yg protect mama eaa.
kali ni biar nina plak yg pimpin mama ea..." T_T *nanges betul2*
(From: My daughter Nina – posted to facebook on 20 January 2012 11pm)
Terima post dari anak saya Amanina yang kini sedang belajar di UITM Shah Alam dalam bidang Kejuteraan IT.. Post dihantar ke wall facebook saya setelah saya menemuinya di siang hari. Kami luangkan waktu bersama bercerita, makan dan bergurau... Dialah anak saya, sahabat saya yang paling baik dan segalanya dalam kehidupan saya. Anak-anak pelengkap kehidupan...Bersyukur kepada Allah....Allah kurniakan saya kemampuan untuk melahirkan zuriat. Apalah erti kehidupan tanpa anak-anak...Terasa diri dimamah usia tatkala melihat anak-anak membesar... Moga Allah beri kekuatan dan kesihatan kepada saya dan suami untuk melihat mereka melangkah ke sebuah kehidupan berkerjaya dan berkeluarga dan menjadi manusia sebagaimana yang semua ibu bapa inginkan.
Menerima posting dari anak saya membuat saya tiba-tiba teringat akan satu peristiwa pada tahun 1994 ketika saya sarat mengandung 7 bulan untuk anak kedua saya. Ketika itu suami berada di luar negara. Saya tinggal bersama ibu dan kakak saya di Batu Caves. Suatu hari saya membawa anak saya Amanina untuk membeli baju raya di Kuala Lumpur. Dalam sarat mengandung saya memimpin tangannya keluar dari rumah menuju ke perhentian bas...Tiba di perhentian saya lihat bas sudah menghampiri pada jarak 500 meter...Saya segera menyeluk beg untuk dapatkan wang tambang dan ketika itu tangan anak saya terlepas dari genggaman dan dia berlari ke jalan raya. Saya menjerit sekuat hati lantas bertindak menyentap tangannya. Saya memukulnya kerana terlalu marah. Dia hampir dilanggar bas yang hanya berselisih pada jarak 1 kaki dari anak saya berada. Nasib baik saya cepat menyambar tangannya. Jika tidak mungkin saya telah kehilangan anak saya dan kata-kata diatas tak mungkin saya terima di facebook saya. Tak dapat saya bayangkan perasaan saya ketika itu.. hanya tuhan yang tahu...Saya bersyukur Allah telah selamatkan anak saya. Saya benci untuk ingatkan kisah itu kerana ia sangat menakutkan. Saya masih ingat bagaimana sukarnya membawa pulang barang-barang yang dibeli dengan membawa anak saya yang ketika itu berusia 2 tahun lebih menaiki bas dan train dan terpaksa berjalan pada jarak 1 kilometer untuk tiba di rumah dibawah panas matahari yang memancar ditambah dengan sarat mengandung dan juga bulan puasa. Saya sedih kerana anak saya terpaksa lalui semua itu... Akibat kepenatan dia minta didukung. Saya mendukungnya dalam keadaan tercungap-cungap. Kesihan anak saya! Sukarnya hidup tanpa suami!!
Namun hari ini anak saya sudah berumur 20 tahun dan masih manja. Namun saya banyak mengabaikannya akibat kesibukan bekerja. Saya jarang menjenguknya ketika dia di sekolah berasrama penuh. Saya bukan ibu yang baik. Namun saya amat bersyukur pada Allah kerana meskipun saya sibuk, anak-anak saya membesar sebagai anak-anak yang sangat manja. Hubungan kami sangat rapat. Tidak seperti kehidupan saya ketika zaman kanak-kanak. Saya membesar dalam keadaan kedua ibubapa saya berpisah ketika umur saya 11 tahun. Saya menghargai kedua ibubapa saya kerana melahirkan saya kedunia ini. Saya bersyukur kerana berjaya mendapat pendidikan ke peringkat tinggi dan diberi Allah sebuah kehidupan yang baik bersama keluarga yang sangat saya sayangi. Moga Allah memberkati dan memberi rahmat keatas kehidupan kami sekeluarga .. Amin