PPSMI – Satu keputusan yang silap
Saya antara yang kecewa dengan keputusan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tentang PPSMI. Saya dan ramai lagi tahu sebarang pandangan kami tidak akan mengubah apa-apa kerana pihak kerajaan telah tetap dengan keputusan untuk tidak melayan sebarang rayuan.
Tetapi sebagai rakyat Malaysia saya rasa saya berhak menyuarakan pandangan saya kerana saya tinggal di negara yang demokrasi.
Saya adalah lulusan ITM (kini UITM) mengikuti kursus luaran pada tahun 1980an. Kursus luaran bermakna kursus luar negara yang dilakukan didalam negara oleh universiti-universiti yang telah menandatangani perjanjian MOU dengan universiti luar negara. Sebagai pelajar yang mendapat pendidikan aliran Melayu, kami menerima satu kejutan bila semua matapelajaran diajar dalam bahasa Inggeris. Meskipun mereka yang terpilih untuk mengikuti kursus luaran ini mesti mempunyai kelulusan yang baik dalam bahasa Inggeris namun ia sebenarnya tidak banyak membantu kerana bahasa Inggeris yang kami pelajari di sekolah sejak dari tahun satu hingga ke tingkatan lima lebih kepada exam oriented. Untuk tempoh enam bulan pertama, kami merasakan kami tidak mendapat manafaat dari kursus yang kami ikuti. Kami langsung tidak faham apa yang diajar dan apa yang kami belajar. Jumlah pelajar seramai 98 orang pada semester pertama berkurang kepada 76 orang di semester kedua kerana ramai yang terpaksa dibuang akibat keputusan yang tidak mencapai tahap dikehendaki. Jumlah pelajar semakin berkurang sehinggalah pada semester akhir bilangan kami yang masih berjuang hanya seramai 18 orang! Perkara sama berlaku kepada kursus-kursus luaran yang lain.
Alasannya, kami sukar mengikuti pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris. Pensyarah kami tidak pernah berbahasa Melayu meskipun mereka terdiri dari bangsa Melayu, Cina mahupun India. Ini kerana silibus kami tiada dwi bahasa dan kami tiada pilihan untuk menjawab kecuali dalam bahasa Inggeris. Mungkin perkara begini tidak penting kepada penentang-penentang PPSMI.
Bagi saya mereka yang menentang PPSMI adalah pengkianat kepada anak-anak kami. PPSMI untuk Sains dan Matematik langsung tiada kaitan dengan soal bahasa Melayu dan hilangnya jatidiri. Seperti yang telah berkali-kali diterangkan, bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik adalah bahasa ilmu. Ia melibatkan banyak istilah-istilah yang menyukarkan jika ia diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Penggunaan istilah dalam bahasa Inggeris memudahkan lagi pembelajaran kedua-dua matapelajaran tersebut. Bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dan rujukan menjadi lebih mudah bila menggunakan bahasa Inggeris.
Keberkesanan PPSMI tentunya tidak dapat dilihat dalam jangkamasa yang singkat. Saya sudah tidak mahu lagi mengikuti sebarang perbahasan tentang isu ini. Saya sekadar ingin meluahkan rasa hati saya dan ingin menyatakan pendirian saya disini bahawa saya dan ramai lagi yang terlalu kecewa dengan keputusan ini. Anak-anak kami adalah mangsa kepada tindakan kumpulan yang kononnya berjuang untuk masa depan mereka.Cukuplah betapa peritnya melihat ramai rakan kami dibuang kerana masalah tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Ini tentunya bukan sesuatu yang harus diberi perhatian bagi pengkianat bangsa seperti Gapena dan lain-lainnya. Ketahuilah bahawa anak-anak kami tetap berdiri sebagai Melayu yang akan berjuang memartabatkan bahasa dan negara meskipun jika PPSMI diteruskan. Saya mempunyai ramai rakan-rakan yang dulunya menduduki LCE/MCE tapi mereka ini tidak pula menjadi pengkianat bangsa setelah tamat belajar.
Negara Jepun adalah antara negara yang menggunakan sepenuhnya bahasa mereka di pusat-pusat pengajian. Mereka terlalu maju dan menguasai pelbagai teknologi canggih dan mampu mengeluarkan bahan-bahan rujukan yang banyak dalam bahasa mereka sendiri. Namun kita masih jauh ketinggalan dan perlu menguasai bahasa asing khususnya Inggeris bagi membolehkan kita menguasai bidang ilmu. Namun hakikat yang tidak dapat dinafikan, rakyat Jepun kini berhadapan dengan masalah bertutur dalam bahasa Inggeris dan mereka turut berhadapan masalah bergaul dengan pelancung asing. Mereka yang mempunyai sijil bahasa Inggeris begitu mendapat tempat di Jepun bagi memberi kelas bahasa Inggeris untuk golongan kanak-kanak, belia dan juga golongan dewasa. Bagi golongan yang tidak dapat berbahasa Inggeris ini sebenarnya merasa sukar untuk keluar melancung tanpa bantuan pemandu pelancung. Ibu bapa angkat saya contohnya mengambil kesempatan melancung ke Malaysia kerana mengenali kami dan mereka memaklumkan tidak berani keluar kerana masalah tidak dapat menguasai bahasa Inggeris.
Anak-anak kami menjadi mangsa kepada golongan pengkianat
Saya merasa kecewa kerana keputusan pemansuhan PPSMI dibuat tanpa mengambil kira suara mereka yang ingin PPSMI diteruskan. Saya berterima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Bin Mohamed kerana telah memberi peluang bagi kami meluahkan kekecewaan dan pandangan kami melalui laman web beliau. Banyak pandangan yang bernas boleh dibaca disitu namun saya musykil ia langsung tidak diambil kira. Meskipun ada yang tidak bersetuju PPSMI diteruskan namun jumlah yang inginkan PPSMI diteruskan jauh lebih besar.
Hasrat kerajaan untuk memantapkan bahasa Inggeris dengan menambah jumlah jam saya rasa tidak banyak membantu jika kaedah yang diajar tidak diubah. Bagi kami yang datangnya dari latarbelakang keluarga yang bertutur bahasa Melayu sepenuhnya atau terdiri dari orang-orang kampong, pendidikan bahasa Inggeris yang kami terima bermula dari tadika sehingga ke tingkatan lima sepatutnya menjadikan kami mahir menguasai bahasa Inggeris. Namun ramai pelajar yang langsung tidak dapat menguasai bahasa Inggeris meskipun telah mendapat tempat di universiti. Kajian yang pernah dibuat oleh TV3 suatu waktu dulu mendapati pelajar universiti langsung tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan memilih menjawab dalam bahasa Melayu meskipun soalan ditanya dalam bahasa Inggeris. Bagi saya ini sesuatu yang memalukan. Sepatutnya diperingkat itu kami sudah mahir bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Inilah yang dimahukan oleh pengkianat yang berjuang menentang PPSMI. Mereka meragut masa depan anak-anak kami. Mereka tidak mahu melihat anak bangsa maju sedangkan mereka sendiri bertutur dalam bahasa Inggeris.
Adalah malang bagi anak-anak kami yang menjadi bahan ujian. Belum pun hasil dapat dilihat, dasar ditukar disebabkan tekanan pihak-pihak tak bertanggungjawab termasuk pembangkang sedangkan wang sudah berbilion dibelanjakan. Persediaan bagi mengeluarkan guru-guru yang mahir menguasai bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik turut berjalan sejak PPSMI diperkenalkan. Peringkat permulaan pengenalan PPSMI tentunya ada kelemahannya termasuklah kekurangan guru-guru yang berkelayakan tetapi usaha telah dilakukan bagi memantapkan PPSMI. Ini turut berlaku pada program PLKN yang tidak terlepas menerima kritikan agar dihapuskan. Cuma kita perlu bersabar untuk melihat hasilnya.
Ekoran pemansuhan PPSMI kedengaran pula makmal-makmal komputer bakal ditambah disekolah-sekolah dalam usaha memantapkan bahasa Inggeris. Setelah berbilion wang dihabiskan untuk makmal-makmal komputer yang sedia ada kini tentunya ada pihak yang bakal mendapat durian runtuh akibat pertambahan makmal-makmal komputer yang baru dan akhirnya ianya akan tersadai akibat masalah penyelenggaraan. Penyediaan LCD projector di setiap kelas dilihat amat baik sebagai satu kaedah pembelajaran namun hakikatnya hanya berapa kerat sahaja guru yang menggunakannya. Selebihnya hanya sebagai hiasan kelas. Ada yang sudah tertanggal, wayar tercabut, tiada penyelenggaraan, kecurian dan sebagainya. Menambah sakit mata yang melihat. Maklumbalas yang saya terima dari banyak sekolah mendapati lebih separuh dari komputer di makmal tidak dapat digunakan. Kes pecah masuk sering kita baca di dada akhbar dan banyak komputer termasuk komputer riba dicuri. Itu semua bukan masalah bagi pembekal-pembekal komputer yang telah mengaut untung awal untuk tender membekal komputer, juga bukan masalah kepada mereka yang mendapat tender baikpulih komputer. Sebulan setelah dibaiki, komputer rosak lagi, ada bola tetikus yang hilang, masalah virus, fius terbakar, kad memori dicuri pelajar dan macam-macam lagi. Pertambahan makmal komputer bermakna bertambahlah masalah yang sama dan 5 tahun kemudian didapati matlamat asal memantapkan bahasa Inggeris tidak mencapai kejayaan dan dasar diubah lagi.
Pandangan semua pihak perlu sebelum sesuatu dasar diperkenalkan dan bukan bertujuan menguntungkan sesetengah pihak yang berkepentingan sahaja. Kami merasa cukup perit untuk menerima keputusan ini namum kami tiada kuasa menghalang. Kami hanya disuruh menerima sahaja keputusan yang telah dibuat. Hakikatnya hati kami sangat sakit.
Kami hanya ada kuasa pada pilihanraya akan datang!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Yap...I pun tak suka sesuka hati they all tukar-tukar..yang jadi mangsa anak-anak kitakan...
ReplyDeleteSalam perkenalan di alam maya...ha..ha...ini lah blog jiwangku....
Thanks for your comment..
ReplyDelete