Saturday, August 21, 2010

AL-FATIHAH

PUPU DALAM KENANGAN




Alfatihah buat makcik saya atau lebih mesra dengan panggilan PUPU yang telah kembali ke rahmatullah pada petang hari Jumaat 20 August 2010 akibat masalah paru-paru berair. Jenazah telah selamat disempurnakan di tanah perkuburan Bukit Kiara keesokkan paginya. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan menempatkan Pupu bersama orang-orang yang beriman.

PUPU YANG SAYA KENAL

Sepanjang ingatan, saya mula mengenali Pupu ketika usia saya 14 tahun. Disebabkan saya dilahir dan dibesarkan di Kedah, saya hanya berpeluang bertemu saudara mara ketika cuti penggal persekolahan.

Sesuatu yang tak mungkin saya lupakan ialah kunjungan Pupu ke asrama saya ketika saya belajar di ITM Shah Alam pada tahun 1987 (asrama Jati). Pupu menghulurkan RM50.00 kepada saya dan memperkenalkan saya kepada seorang saudara yang dipanggil Intan (ketika itu Intan tinggal di Kelantan - mengikuti jurusan undang-undang di ITM). Kunjungan Pupu akan saya kenang dan simpan dalam lipatan hidup saya sampai bila-bila. Pupu seorang yang suka bersedekah sepanjang hidupnya. Apa yang saya tahu, Pupu suka bersedekah kepada ramai orang termasuk ibu saya.

Selain dari itu Pupu juga suka menghubungi saudara mara jika sudah agak lama tidak bertemu bagi bertanya kabar. Keterbatasan waktu menyebabkan saya sukar bertemu saudara mara namun suara Pupu dapat saya dengar dihujung talian yang tiap kalinya diselit dengan kata-kata nasihat.

Saya meletakkan Pupu sebagai antara contoh terbaik dalam saya melayari liku-liku hidup di hadapan. Saya melihat kecekalan dan kesabaran Pupu dalam membesarkan anak-anak dan dalam masa yang sama menjaga ibu yang terlantar sakit tanpa suami yang terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi.

PANGGILAN TERAKHIR DARI PUPU

Saya menerima panggilan dari Pupu di awal Julai setelah beberapa tahun tidak bertemu. Pupu memaklumkan dia berusaha mencari nombor telefon saya dalam buku simpanannya. Terkilan rasa di hati bila saya yang sepatutnya menelefon Pupu untuk bertanya khabar. Pupu memaklumkan dia sakit. Saya terus membuat keputusan untuk menziarahinya bersama ibu.
Sebaik melangkah masuk saya hampir menitiskan airmata melihat keadaan Pupu yang sangat susut berbanding dulu. Meskipun dalam keadaan tidak sihat, Pupu sibuk melayan kami dan dia kelihatan sangat gembira dengan kehadiran kami sekeluarga. Berbagai makanan dikeluarkan.

Meskipun sakit Pupu tetap kelihatan cantik!
Pupu bersama suami, ibu, anak-anak dan pembantu saya

Saya pulang setelah lebih sejam berada di rumah Pupu. Dalam perjalanan pulang saya menghantar mesej melalui telefon kepada Pupu mendoakan kesihatannya dan semoga beliau cepat sembuh. Pupu membalas sms saya dengan panjang dan turut mendoakan untuk saya selain tidak lupa diselitkan nasihat sebagai pedoman. Pupu berjanji untuk menelefon lagi.


Pupu gembira dengan kehadiran kami. Gambar terakhir yang berjaya saya rakamkan sebagai kenangan bersama Pupu!


Tidak lama kemudian saya menerima berita Pupu dimasukkan ke hospital. Disebabkan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan saya tidak berkesempatan menziarahinya di hospital. Saya membuat perancangan untuk menziarahinya pada pagi Jumaat 20 August 2010 namun masih tidak berkesempatan kerana disaat-saat akhir ada masalah yang mendatang. Mungkin segalanya sudah tersurat untuk tidak bertemu Pupu buat kali terakhir dan pada petang hari yang sama saya menerima berita Pupu telah pergi buat selamanya. Saya sekeluarga menziarahi jenazah Pupu buat kali terakhir selepas berbuka puasa.
Gambar Allahyarham ayahanda Pupu yang tergantung di dinding
ini telah dirakam suami saya yang gemar mengumpul gambar-gambar lama


Gambar Allahyarham suami Pupu yang terlebih dahulu
pergi menyahut panggilan Illahi

Di malam menziarahi Pupu saya mencari-cari insan yang bernama Intan yang telah diperkenalkan Pupu kepada saya namun gagal. Saya tidak mengingati namanya yang sebenar.

Saya sentiasa mendoakan agar roh Pupu ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan segala kebaikan dan sedekah yang telah dilakukan oleh Pupu diharapkan mendapat pembalasan sewajarnya dari Allah swt- amin.

Kepada keluarga Pupu terutama sekali anak-anak dan menantunya didoakan diberi Allah swt kesabaran dalam melalui detik-detik yang sukar ini. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali.


Monday, August 2, 2010

AL-FATIHAH

SURIA DALAM KENANGAN

Allahyarham Suria sewaktu menghadiri majlis pelancaran City Cafe dan City Cyber pada 3 November 2010

Jiran saya Saudara Suria telah kembali ke Rahmatullah pada pagi 2 Ogos 2010 akibat masalah paru-paru berair. Semasa berada di Malaysia beliau telah diamanahkan menjaga kediaman Allahyarham Ismail (di hadapan rumah saya) oleh isteri Allahyarham dan sepanjang tempoh itu beliau telah memegang amanah itu dengan baik dan turut mempunyai hubungan yang baik dengan kami jiran-jiran sekeliling. Beliau juga turut membantu membersihkan rumah saya dan rakan. Beliau juga turut melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman saya di Shah Alam selain turut terlibat memantau kebun saya di Ulu Behrang.

Hubungan saya dan Allahyarham serta isterinya Jamilah seumpama sebuah keluarga. Saya agak terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan mereka pada hari terakhir mereka di Malaysia. Saya menerima panggilan telefon dari Allahyarham ketika beliau berada di KLIA memaklumkan beliau telah datang ke City Cafe untuk bertemu saya sebelum berlepas pulang namun pada ketika itu saya berada di Shah Alam. Beliau memaklumkan akan kembali ke Malaysia dalam tempoh sebulan namun keadaan berlarutan sehingga 4 bulan akibat kesihatannya semakin buruk. Dan tengahari 2 Ogos 2010 saya menerima panggilan telefon mengatakan beliau telah kembali ke rahmatullah.

Jamilah dan Ain

Sama-samalah kita mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah swt dan semoga beliau tergolong di dalam orang-orang yang beriman. Semoga keluarga Allahyarham juga tabah dalam menghadapi ujian Allah yang sukar ini. amin

Saya membawa Milah dan Ain ke Sabak Bernam dan singgah di Bukit Melawati pada September tahun lalu.
Sedih rasanya bila teringat kenangan masa kami bersama.

Sesungguhnya wang bukan segala-galanya tetapi persahabatan yang ikhlas kekal ke akhir hayat.