PUPU DALAM KENANGAN
Alfatihah buat makcik saya atau lebih mesra dengan panggilan PUPU yang telah kembali ke rahmatullah pada petang hari Jumaat 20 August 2010 akibat masalah paru-paru berair. Jenazah telah selamat disempurnakan di tanah perkuburan Bukit Kiara keesokkan paginya. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan menempatkan Pupu bersama orang-orang yang beriman.
PUPU YANG SAYA KENAL
Sepanjang ingatan, saya mula mengenali Pupu ketika usia saya 14 tahun. Disebabkan saya dilahir dan dibesarkan di Kedah, saya hanya berpeluang bertemu saudara mara ketika cuti penggal persekolahan.
Sesuatu yang tak mungkin saya lupakan ialah kunjungan Pupu ke asrama saya ketika saya belajar di ITM Shah Alam pada tahun 1987 (asrama Jati). Pupu menghulurkan RM50.00 kepada saya dan memperkenalkan saya kepada seorang saudara yang dipanggil Intan (ketika itu Intan tinggal di Kelantan - mengikuti jurusan undang-undang di ITM). Kunjungan Pupu akan saya kenang dan simpan dalam lipatan hidup saya sampai bila-bila. Pupu seorang yang suka bersedekah sepanjang hidupnya. Apa yang saya tahu, Pupu suka bersedekah kepada ramai orang termasuk ibu saya.
Selain dari itu Pupu juga suka menghubungi saudara mara jika sudah agak lama tidak bertemu bagi bertanya kabar. Keterbatasan waktu menyebabkan saya sukar bertemu saudara mara namun suara Pupu dapat saya dengar dihujung talian yang tiap kalinya diselit dengan kata-kata nasihat.
Saya meletakkan Pupu sebagai antara contoh terbaik dalam saya melayari liku-liku hidup di hadapan. Saya melihat kecekalan dan kesabaran Pupu dalam membesarkan anak-anak dan dalam masa yang sama menjaga ibu yang terlantar sakit tanpa suami yang terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi.
PANGGILAN TERAKHIR DARI PUPU
Saya menerima panggilan dari Pupu di awal Julai setelah beberapa tahun tidak bertemu. Pupu memaklumkan dia berusaha mencari nombor telefon saya dalam buku simpanannya. Terkilan rasa di hati bila saya yang sepatutnya menelefon Pupu untuk bertanya khabar. Pupu memaklumkan dia sakit. Saya terus membuat keputusan untuk menziarahinya bersama ibu.
Sebaik melangkah masuk saya hampir menitiskan airmata melihat keadaan Pupu yang sangat susut berbanding dulu. Meskipun dalam keadaan tidak sihat, Pupu sibuk melayan kami dan dia kelihatan sangat gembira dengan kehadiran kami sekeluarga. Berbagai makanan dikeluarkan.
Meskipun sakit Pupu tetap kelihatan cantik!
Pupu bersama suami, ibu, anak-anak dan pembantu saya
Saya pulang setelah lebih sejam berada di rumah Pupu. Dalam perjalanan pulang saya menghantar mesej melalui telefon kepada Pupu mendoakan kesihatannya dan semoga beliau cepat sembuh. Pupu membalas sms saya dengan panjang dan turut mendoakan untuk saya selain tidak lupa diselitkan nasihat sebagai pedoman. Pupu berjanji untuk menelefon lagi.
Pupu gembira dengan kehadiran kami. Gambar terakhir yang berjaya saya rakamkan sebagai kenangan bersama Pupu!
Gambar Allahyarham ayahanda Pupu yang tergantung di dinding
ini telah dirakam suami saya yang gemar mengumpul gambar-gambar lama
Gambar Allahyarham suami Pupu yang terlebih dahulu
pergi menyahut panggilan Illahi
Di malam menziarahi Pupu saya mencari-cari insan yang bernama Intan yang telah diperkenalkan Pupu kepada saya namun gagal. Saya tidak mengingati namanya yang sebenar.
Saya sentiasa mendoakan agar roh Pupu ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan segala kebaikan dan sedekah yang telah dilakukan oleh Pupu diharapkan mendapat pembalasan sewajarnya dari Allah swt- amin.
Kepada keluarga Pupu terutama sekali anak-anak dan menantunya didoakan diberi Allah swt kesabaran dalam melalui detik-detik yang sukar ini. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali.
Salam, saya Amin (anak bongsu Pupu) ingin merakamkan berbanyak terima kasih kerana dapat mengabadikan kisah mengenai ibu tersayang yang telah pergi.
ReplyDeleteMelihat gambar-gambar Pupu dalam blog ini dan mendengar kenangan Kakak yang lalu sedikit sebanyak dapat mengubat rindu dan kesedihan kami semua, dan disamping itu, mengingatkan kami semua tabiat baik Allahyarhamah yang patut diikuti.
Saya masih ingat hari yang Kakak sekeluarga datang menziarah Pupu di rumah. Sekembali saya dari kerja, Pupu amat 'excited' menceritakan kunjungan Kakak, ibu kakak (yang kami panggil Kala Esah) dan keluarga. Beliau betul-betul ceria dan gembira kerana dah lama tak berjumpa. Lantaran itu, Pupu meminta tolong saya menjawab SMS Kakak malam itu jugak (kerana Pupu hanya mahir menerima SMS, tetapi tidak pandai menghantar). Beliau pun mengarang jawapan yang mahu dihantar dengan panjang lebar dan menyuruh saya menaip dan menghantar SMS tersebut dari telefon bimbit beliau.
Apabila saya fikir balik, mungkinlah agaknya Arwah ibu telah mengagak yang beliau akan pergi kerana sejak kebelakangan sebelum beliau pulang ke Illahi, beliau banyak cuba menghubungi orang-orang yang tersayang - khususnya mereka yang sudah lama tidak berhubung. Kala Esah dan keluarga Kakak adalah orang yang beliau amat kasih, sekalipun lama tak berhubung, seringkali beliau sebut-sebut pada kami.
Walaupun Allahyarhamah adalah ibu saya, tidak segan saya katakan di sini bahawa apa yang Kakak cerita pada blog ini benar-benar menggambarkan ciri-ciri Pupu yang sebenar ... seorang hamba Allah yang ikhlas, besar hati, sentiasa mementingkan kebajikan keluarga, pemurah dan suka membantu. Semoga kami anak-beranak dapat mencontohi beliau dan dapat mengamalkan setiap perkara baik yang beliau didik dalam jiwa kami sekeluarga, insyaAllah.
Bagi Kakak, Kala Esah dan pembaca semua, izinkan saya memohon agar dapat terus mendoakan agar Arwah ibu saya Hajjah Sharifah Eshah binti Che Bee terus sejahtera dalam peliharaan Allah SWT. Amin.
Al-Fatihah.
Ikhlas,
Mohd Amin
Salam Amin,
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi menziarahi blog kakak. Apa yang kakak tulis adalah lahir dari hati kakak.
Dari mula kakak kawin, suami kakak mengetahui kakak sangat menyanjungi Pupu. Kakak selalu ceritakan pasal arwah Pupu kepadanya. Meskipun hakikatnya kakak jarang bertemu tetapi entah kenapa kehadiran Pupu begitu terkesan di hati kakak. Bagi kakak, arwah Pupu seorang yang sangat hebat. Semoga Allah menempatkan beliau bersama insan-insan yang soleh- amin