Wednesday, March 16, 2011

SELAMAT PENGANTIN BARU SYIKIN

13 March 2011 adalah hari perkahwinan adik Syikin. Adik Syikin bukan siapa-siapa dalam hidup saya. Saya cuma mengenalinya untuk tempoh tidak sampai 3 jam. Namun tempoh sesingkat itu meruntun hati saya untuk menghadiri majlis perkahwinannya lantaran masalah masa yang sukar memberi saya ruang.
Syikin datang menemui saya bagi memohon pekerjaan pada tahun lepas. Perbualan singkat saya dengannya cukup memberi pengertian bahawa insan ini bermasalah. Lebih menyedihkan Syikin telah tersilap langkah dalam memilih haluan hidup. Untuk tidak mahu Syikin hanyut lebih jauh, saya berjanji akan memberi pekerjaan kepadanya. Riang terpancar di wajahnya sebaik mengetahui saya setuju mengambilnya. Saya serba salah kerana Syikin sepatutnya berada di sekolah pada usia 17 tahun dan bersedia mengulangkaji untuk menghadapi peperiksaan SPM namun Syikin jauh menyimpang dalam menentu arah hidup. Pakaian yang dipakai juga sangat tidak sesuai dan menjadi jelingan insan bernama lelaki. Saya tidak dapat menceritakan apa sebenarnya berlaku lantaran mengaibkan seseorang bukan perkara yang baik. Sekadar ingin berkongsi secebis kisah yang turut menyentuh hati saya.
Melihat wajah Syikin ketika itu, hati saya menjadi sayu lantaran saya sendiri mempunyai 4 orang anak-anak yang sedang membesar. 4 orang anak dengan empat karektor yang berbeza mengundang kesabaran dalam mendidik. Mengetahui Syikin belum makan, saya menghidangkan sepinggan nasi ayam kepadanya. Sementara Syikin makan saya cuba menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat namun panggilan saya tidak bersahut lantaran hari itu adalah hari cuti umum. Tidak mahu Syikin terus hanyut saya menggagahi menghubungi balai polis Rawang memaklumkan cerita Syikin. Tak kala Syikin menghabiskan suapan terakhir, sebuah kereta peronda polis tiba dan 2 orang anggota polis mendekati Syikin untuk bertanyakan soalan. Syikin yang terperanjat memandang tepat kepada saya. Saya cuba memeluknya sambil memaklumkan agar tidak memarahi saya lantaran tindakan saya itu. Saya turut memaklumkan tindakan saya adalah atas rasa tanggungjawab kerana saya juga seorang ibu yang mempunyai 4 orang anak. Saya memohon maaf kepadanya. Syikin dibawa ke balai dan saya lihat kekecewaan di wajahnya. Saya dihantui rasa bersalah.
Beberapa bulan selepas itu saya disapa seorang gadis sewaktu ingin mengisi petrol di sebuah pam minyak. Dia menghulurkan tangan bersalaman lantas mencium tangan saya sambil memperkenalkan dirinya adalah Syikin. Hampir menitis airmata saya melihat Syikin tampak ayu dengan bertudung. Saya bersyukur tindakan saya berjaya membawa Syikin ke pangkal jalan.
Pada awal tahun ini saya didatangi Syikin dan keluarganya. Saya terperanjat kerana menyangka mungkin kedatangan mereka untuk memarahi saya lantaran tindakan saya menghubungi polis dulu. Namun ibunya segera mengambil no telefon saya. Seperti biasa Syikin bersalaman dengan mencium tangan saya dengan rasa penuh hormat. Saya dimaklumkan Syikin bakal mendirikan rumahtangga. Tiada perkataan mampu saya ucapkan melainkan bersyukur kepada Allah yang telah menyelamatkan Syikin dari jauh tersasar. Saya turut diperkenalkan dengan tunangan Syikin. Keluarga Syikin kelihatan gembira dapat mengenali saya.
Sebulan sebelum tarikh perkahwinan, Syikin datang menemui saya bersama tunangannya mengotakan janji menghulurkan kad jemputan kahwin. Redup matanya sewaktu menghulur kad tersebut ke tangan saya membayangkan seribu harapan agar saya hadir di majlis perkahwinannya.
Dan pada tarikh 13 March 2011 Allah telah memberi ruang kepada saya untuk hadir ke majlis perkahwinan Syikin. Alhamdulillah.!!Perkahwinan Syikin telah membawa saya ke rumahnya. Terdapat 3 khemah menempatkan meja makan tetamu jemputan. Kehadiran saya disambut ibu Syikin yang kelihatan gembira menerima kunjungan kami. Saya memohon kebenaran untuk menemui Syikin di biliknya dan saya ditemani oleh seorang ahli keluarganya naik ke atas. Syikin gembira dengan kehadiran saya. Melihat Syikin dalam pakaian pengantin, saya hanya mampu berdoa semoga perkahwinannya diberkati Allah dan semoga Syikin bahagia dan jodohnya berkekalan sehingga ke akhir hayat. Saya mohon untuk pulang kerana tidak dapat menunggu lama lantaran tugas sedia menanti. Syikin sedikit terkilan kerana menyangka saya akan menghabiskan lebih masa di rumahnya. Namun memahami keadaan saya Syikin akur! Sewaktu ingin memulakan langkah untuk pulang, pengumuman kehadiran pengantin lelaki menghentikan perjalan kami. Saya menunggu untuk melihat persandingan Syikin. Gembira di hati saya melihat Syikin bahagia di sisi suami tersayang.
Saya pulang dengan kesan yang sangat mendalam di hati. Syikin bukan siapa-siapa dalam hidup saya. Namun kehadirannya yang sekejap begitu memberi erti. Tindakan saya yang sedikit dengan menghubungi pihak polis telah membuka jalan untuk menyelamatkan Syikin dari hanyut lebih jauh. Saya tidak tahu apa akan terjadi jika saya terus biarkan Syikin hanyut dengan jalan hidup yang dipilihnya sebelum ini. Allah memberkati usaha saya dan menyelamatkan Syikin. Saya sangat-sangat bersyukur!
Semoga Allah memberkati perkahwinan adik Syikin dan memurahkan rezeki mereka dan merahmati hidup mereka selamanya- amin.

SELAMAT PENGANTIN BARU BUAT ADIK SYIKIN TERSAYANG!

No comments:

Post a Comment