Saturday, February 5, 2011

Published on 6 February 2011


Kerajaan Komited Bawa Pulang Warga Kita


2011/02/05

ISU pergolakan di Mesir menyebabkan seluruh perhatian dunia tertumpu ke negara bergolak itu. Tentunya semua mengikuti itu dengan teliti perkembangan terkini dan berharap masalah dalaman negara itu berakhir segera untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.

Bagi mereka mempunyai anggota keluarga terutama anak belajar di sana, tentunya situasi begini amat membimbangkan. Saya turut mempunyai anak saudara yang mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Kaherah.
Saya mengikuti perkembangan pergolakan ini sejak awal dan bila keadaan dilihat semakin meruncing, hati saya mula bimbang keselamatan anak saudara saya. Perasaan sama turut dikongsi bersama semua ibu bapa yang mempunyai anak di sana.
Namun dalam keadaan tidak dijangka begini, tindakan kita biarlah rasional dan tidak terlalu beremosi. Surat daripada ibu bapa kepada media yang begitu marah kerana kerajaan dikatakan lambat bertindak membawa pulang anak mereka dengan pelbagai kecaman amat dikesali.

Sikap sesetengah ibu bapa yang mempolitikkan isu ini dengan membawa bersama parti pembangkang dalam pertemuan dengan pihak kerajaan baru-baru ini amat dikesali. Perbincangan yang bertukar emosi dengan melemparkan pelbagai tuduhan seolah-olah kerajaan tidak mengambil berat urusan membawa pulang pelajar ini sangat tidak wajar. Janganlah bersikap pentingkan diri sendiri. Kerajaan bertanggungjawab membawa pulang semua pelajar Malaysia dan bukan hanya anak anda seorang.

Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia ingin merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinannya menggerakkan seluruh jentera yang ada dalam operasi menyelamat, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, badan bukan kerajaan, petugas media dan seluruh yang terbabit dalam urusan membawa pulang semua pelajar Malaysia.

SITI, Sungai Choh, Rawang.

[Berita Harian, ruangan pendapat, 2/5/2011]

No comments:

Post a Comment