Sunday, July 24, 2011

Pengkalan Hulu - Honeymoon

23 Julai 2011 - 24 Julai 2011
Kami bertolak dari Rawang sekitar jam 11 pagi menuju ke Pengkalan Hulu. Saya sudah tidak ingat ini kali keberapa saya ke sana. Pengkalan Hulu sudah tidak asing lagi bagi kami. Bezanya kali ini hanya saya dan suami sahaja ke sana. Kata suami.., ini honeymoon untuk kami!

Perjalanan agak lancar kecuali ketika kami menghampiri tol Tapah di mana terdapat sebuah pacuan empat roda Prado telah terbabas memasuki longkang dengan bumbungnya ke bawah. Nasib pemandu tidak diketahui.
Arca tanduk rusa menerima kunjungan tetamu ke Gerik


Saya terpesona dengan bentuk awan yang putih bersih

Tiba di Pengkalan Hulu sekitar jam 4 petang. Kami terus melepasi kawalan Imigresen ke pusat beli belah Seruntun iaitu kedai bebas cukai. Akibat selalu ke sana, tiada yang menarik bagi kami.

Sebelum ke pusat bebas cukai kami harus melepasi pemeriksaan Imigresen

Komplek bebas cukai

Sedikit buah tangan dibeli sebelum kami singgah di gerai-gerai tepi jalan berhampiran post polis untuk memasuki Thailand. Saya membeli sedikit buah-buahan pelbagai jenis untuk dimakan di bilik hotel. Selain buah-buahan, pelbagai barangan produk Thailand menjadi lambakan di situ.


Minuman yang tidak terdapat di Malaysia.. agak takut untuk meminumnya!


Produk Thailand.. sering dilihat dipakai oleh orang-orang tua dulu


Buih sabun kanak-kanak digantung indah menarik perhatian saya


T Shirt Thailand. Betong adalah sempadan dalam daerah Yala Thailand


Gerai-gerai menjual pakaian, buah-buahan dan barangan rumah


Kedai-kedai menggunakan tulisan Thai meskipun beroperasi di Malaysia

Sebuah tapak pembinaan bagi tujuan ruangniaga masih belum siap sejak kali terakhir kami tiba pada tahun lepas. Saya yakin setelah siapnya komplex niaga tersebut, kebanjiran orang ramai akan berlaku untuk tujuan membeli belah.


Komplek membeli belah yang belum siap

Meskipun gerai-gerai sedia ada berada dalam kawasan zon Malaysia namun saya dapati peniaganya terdiri dari warga Thailand dan berulang alik ke sempadan tanpa sebarang pas atau passport. Penguatkuasa baik bagi sempadan Malaysia mahupun Thailand kebanyakan sudah mengenali mereka ini.

Saya mengenali seorang peniaga di situ yang mengajak saya ke kampungnya di selatan Thailand yang terletak tidak jauh dari sempadan tanpa perlu memiliki passport. Meskipun dia kelihatan baik, namun saya rasa pelawaan itu tidak selamat untuk saya sekeluarga memandangkan selatan Thai yang masih bergolak.

Kami seterusnya masuk ke pekan Baling yang terletak kurang 10 km dari Pengkalan Hulu.

Maklumat dan gambar untuk kunjungan saya ke Baling saya muatkan di bawah tajuk BALING.

Kem Batalion PGA - Pengkalan Hulu

Kami turut singgah di puncak Gunung Inas untuk meninjau pemandangan dari atas namun keadaan yang tidak terjaga menjadikan lokasi tersebut begitu mengecewakan. Kemudahan parking, gerai-gerai jualan dan kawasan meninjau yang telah disediakan begitu terbiar dan tidak mendapat sambutan.

Puncak Gunung Inas - semak samun yang tinggi menghalang pandangan bird eye dari atas..


Terbiar... meskipun berbagai kemudahan disediakan..

Kami tiba di bilik sebaik Maghrib. Makan malam sekadar buah-buahan dan kueh-kueh yang dibeli di pekan Baling. Suami saya berkejar balik untuk menonton perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Singapura yang berlangsung di stadium Jalan Besar Singapura. Keputusan memihak 5-3 kepada Singapura mengecewakan!

Hotel Hill Towne _ Pengkalan Hulu merupakan hotel penginapan kami sejak sekian lama


Pasaraya Da Ai merupakan pasaraya terbesar di Pekan Pengkalan Hulu

Keesokan paginya Ahad 24 Julai 2011, saya keluar bersarapan bersama suami di medan rakyat. Roti canai dan teh tarik menjadi menu pilihan. Saya memberi 5 bintang untuk kuah dalnya namun hanya 2 bintang untuk teh tarik! Makanan di kawasan ini sangat murah. Harga sekeping roti canai 80 sen dan teh tarik RM1.00 segelas.

Menu roti canai dan kuah dal...sedap!


Sukosensei

Selesai sarapan saya menghantar suami ke MRSM Pengkalan Hulu. Ceramahnya bermula jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari bagi matapelajaran sejarah tingkatan 5.

MRSM Pengkalan Hulu

Sebelum pulang ke bilik, saya cuba meninjau-ninjau kawasan yang belum pernah saya sampai meskipun suami saya berpesan untuk terus balik ke bilik. Rugi rasanya saya bazirkan masa tanpa ada benda baru yang saya tahu.

Masjid Jamek Pengkalan Hulu yang baru siap dibina

Saya memasuki satu kawasan dinamakan Kuak dan di sana saya bertemu dengan sebuah warung yang dinamakan Warung Ayah Pin. Saya tidak pasti apa kaitan tuan punya warung dengan Ayah Pin yang sedang diburu polis kerana membawa ajaran sesat di Malaysia. Malangnya warung tersebut ditutup pada hari itu. Jika dibuka, ingin sekali saya minum di situ.

Warung Ayah Pin - Pengkalan Hulu

Seterusnya saya ke Jalan Tasek dan berhenti di Tasek Takong. Tasek Takong dulunya adalah tempat mandi untuk ratusan gajah milik Raja Reman. Bagi memudahkan gajah-gajah tersebut mandi, Raja Reman telah membuat sebuah empangan yang mana airnya sentiasa keroh dan dari situ terbentuk sebuah tasik kecil dan tempat ini dinamakan KROH.

Batu Asas Sejarah Tasek Takong dan asal nama Pengkalan Hulu

Namun pada 4 Januari 1984, Sultan Idris Shah II telah berkenan menamakan kawasan ini sebagai PENGKALAN HULU kerana tempat ini menjadi persinggahan baginda semasa melawat Hulu Perak. Dan kini tasik ini telah dinamakan Tasek Takong setelah dimajukan oleh Majlis Daerah Pengkalan Hulu dan menjadi salah satu tempat riadah pilihan oleh masyarakat di sini.


Tasek Takong - Pengkalan Hulu


Pemandangan indah di Tasek Takong - Pengkalan Hulu

Dihadapan Tasik Takong terletak SMK Tun Saban. Saya melihat papan tanda untuk latihan memanah untuk Majlis Sukan Negara dihadapan pintu masuk ke sekolah. Tentu ada sebab sekolah ini terpilih untuk latihan memanah tersebut.

SMK Tun Saban - Pengkalan Hulu

Saya terus memandu menyusuri Jalan Tasek. Tidak banyak kenderaan di sini dan saya teringat kata-kata Allahyarham pakcik Ramli (bapa bekas pekerja saya)... "dulu di Rawang tak banyak kenderaan sampaikan boleh baring di jalan raya"...Mungkinkah Rawang dulu seperti apa yang saya lihat di sini..


Kambing menjadikan jalanraya sebagai tempat istirehat!


Lembu turut memenuhi jalanraya akibat jalan yang lengang!


Stesen minyak mematuhi arahan kerajaan dengan hanya menjual RON 97 kepada kenderaan luar

Saya menjemput suami saya di MRSM jam 1 tengahari. Sebelum pulang kami disajikan dengan makan tengahari di dewan makan. Juadah yang disediakan ialah nasi, sambal tumis udang, rendang daging, sayur dan buah-buahan. Hubungan baik yang terjalin antara pihak MRSM dengan suami saya menjadikan saya senang untuk ke Pengkalan Hulu setiap kali dijemput. Terima kasih kepada semua guru-guru yang terlibat.

Kepenatan... 5 jam berceramah...kesian suamiku!


Jamuan yang disediakan oleh pihak MRSM. Kami makan di dewan makan yang dipenuhi pelajar MRSM yang kebetulan masa makan tengahari mereka

Dalam perjalanan pulang kami turut singgah di pekan lama Lenggong.

Maklumat mengenai Lenggong saya masukkan di bawah tajuk LENGGONG

Seterusnya kami singgah di bandar Kuala Kangsar namun hajat untuk membeli buah tangan terpaksa dilupakan kerana kebanyakan kedai ditutup kerana Ahad adalah hari kelepasan am. Hanya beberapa unit kedai di buka dan tidak banyak pilihan yang kami ada. Berbeza sekali dengan di Kuala Lumpur dan Selangor...kedai jarang ditutup...!!!

BALING
Baling terletak di utara negeri Kedah dan di Selatan Betong, sebuah bandar paling selatan Thailand dengan kepadatan penduduk melebihi 200 ribu orang.

Laluan masuk ke Pekan Baling


Tapai yang dibalut menggunakan daut getah


Pelbagai jenis kuih menjadikan kami rambang mata!

Saya dan suami suka ke pekan Baling kerana terdapat pelbagai jenis kuih muih yang di jual. Kalau boleh kami ingin membeli semua kuih muih yang ada...Akibat rambang mata, ada kuih yang terbuang kerana sudah tak mampu lagi untuk makan akibat kekenyangan...

Tarikan kepada Yong Tau Fu


Sesekali makan di warung yang hiruk pikuk seronok juga!

Makan di warung dengan hiruk pikuk orang yang lalu lalang sangat menyeronokkan.

Mi hoon sup menjadi menu pilihan saya


Ikan segar yang didatangkan dari Kuala Muda..sayangnya saya tiada tempat untuk masak!


Pekan Baling agak sesak dan sukar mendapatkan parking

LENGGONG
Daerah Lenggong merupakan daerah yang penting kerana arkeologinya. Pelbagai penemuan bersejarah telah ditemui di daerah ini seperti rangka manusia terawal yang dikenali sebagai Perak Man, lukisan gua, barangan perhiasan, poteri dan barbagai lagi. Semua ini boleh dilihat di muzium arkeologi Lenggong.

Kami singgah minum di D'Lenggong Cafe yang terletak di rumah rehat Lenggong.

Rumah Rehat Lenggong


D'Cafe Lenggong yang terletak di Rumah Rehat Lenggong


Jambatan Raja Nazrin merentasi Tasik Raban

Dalam perjalanan pulang kami turut singgah di Tasik Raban dimana jalan lama sebelum pembinaan jambatan Raja Nazrin telah membelah tasik tersebut dan menyajikan pemandangan yang sungguh indah.

Suami saya di jeti Tasik Raban


Jalan lama yang membelah Tasik Raban menyajikan panorama indah

Kami juga melalui kawasan Sauk dan sebuah tempat bernama Jenalik mengingatkan kami akan kisah kumpulan Al-Maunah yang pernah menggemparkan negara satu ketika dulu.


KUALA KANGSAR

Kuala Kangsar ialah sebuah bandar diraja yang terletak di pinggir sungai Kangsar. Saya suka bandar ini kerana selain membeli belah, terdapat banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati.

Malay College Kuala Kangsar


Sekolah Menengah Clifford - Kuala Kangsar


Kucing ini menjadi tumpuan lensa kamera kerana warnanya yang menarik

Namun kehadiran saya dan suami ke sini sekadar untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang. Ini juga bukan kunjungan pertama saya ke daerah ini dan kebanyakan tempat-tempat menariknya telah saya lawati.

Jalanraya yang lengang akibat cuti umum - Kuala Kangsar

Kami agak kecewa kerana banyak kedai ditutup kerana hari Ahad adalah cuti am. Saya hanya sempat merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan.

Bandar Kuala Kangsar

Bandar Kuala Kangsar

Kami meneruskan jalan pulang setelah tiada apa yang menarik lagi untuk dilihat. Hujan agak lebat pada awal perjalanan pulang tapi alhamdulillah kami selamat sampai ke Sungai Choh jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment