Published in Berita Harian on 23 July 2010
TNB tidak maklum potong elektrik
2010/07/23
ISU terminal bas dan teksi Rawang masih tiada kesudahannya. Kami sudah penat dengan isu terminal yang tidak serupa terminal. Bangunan yang sudah lebih setahun siap kini sepi tanpa pengunjung kerana tidak digunakan sepenuhnya sebagai perhentian bas dan teksi.
Sebagai peniaga di sini kami bukan saja berdepan dengan perniagaan yang suram, ditambah hutang bank dan yang terbaru pemotongan bil elektrik tertunggak oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Belum pun reda kisah Aduan Rakyat TV3 yang datang membuat liputan berhubung nasib kami, kami dikejutkan dengan pemotongan bekalan elektrik oleh kontraktor yang dilantik oleh TNB yang bukan saja tidak beretika tetapi sangat biadap.
Tidak dinafikan boleh dikatakan hampir kesemua kami peniaga di lot kedai di sini mempunyai bil yang tertunggak.
Walaupun bangunan sudah lama siap, bagaimanapun kami hanya menerima bil sekitar Januari lalu dan bil semasa mencecah ratusan ringgit meskipun perniagaan belum bermula. Ada juga mengatakan jumlah yang tertera di bil kami sebenarnya diagihkan dari meter utama ke meter lot kedai sewaktu permohonan mendapatkan elektrik dulu.
Jumlah itu dikatakan dari kerja pembinaan bangunan dulu dan ia diagihkan kepada lot kedai bagi mengurangkan beban pemaju. Sejauh mana kebenarannya kami tidak tahu. Tetapi secara logiknya memanglah tidak masuk akal bil pertama diterima mencecah ratusan ringgit tetapi kedai belum beroperasi.
Namun kami peniaga sepakat untuk tidak memanjangkan perkara itu dan menerima keadaan itu sebagai nasib yang menimpa kami dan kebanyakan kami mengambil sikap menjelaskan bil semasa setiap bulan.
Perniagaan kami sangat suram dan ramai dari kami menanggung kerugian dan kini banyak lot kedai yang sudah ditutup.
Kami memahami tugas TNB yang melakukan pemotongan bekalan ekoran dari tunggakan yang tinggi namun apa yang kami persoalkan ialah cara ia dilakukan.
Sepatutnya kami menerima surat peringatan terlebih dulu yang memaklumkan pemotongan akan dilakukan pada tarikh tertentu dan untuk mengelakkan pemotongan kami dikehendaki membayar sejumlah wang yang ditentukan oleh TNB. Namun tiada seorang pun dari kami yang menerima surat itu.
Surat merah dihantar ke depan pintu dan bekalan terus dipotong tanpa rundingan. Di sebuah premis perniagaan, terdapat pelanggan sedang berurusan dengan pekerja untuk mencetak bahan dan kedatangan kontraktor TNB terbabit yang terus memotong bekalan menjadikan mereka semua terpinga-pinga.
Bekalan elektrik dipotong sewaktu kerja mencetak sedang berjalan dan semua komputer terpasang. Akibatnya kerja artwork yang sedang disiapkan dan sedang dicetak hilang begitu saja tanpa sempat diselamatkan peniaga.
RAKYAT PRIHATIN,
Rawang, Selangor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment