Saturday, July 31, 2010

Berita Harian 31 Julai 2010

JAKIM perlu tegas isu halal, haram


2010/07/31

ISU penggunaan logo halal sudah sekian lama diperkatakan. Isu tempat yang diragui status halal yang diserbu juga sering kali kita lihat di media. Namun apa yang dikesalkan ialah sikap sambil lewa dan tiada ketegasan pihak yang berwajib dalam menangani isu ini menyebabkan status halal ini diambil mudah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Keuntungan menjadi keutamaan daripada menjaga sensitiviti umat Islam yang ternyata sudah sekian lama ditipu oleh golongan ini.

Pengertian halal ini bukan hanya terhad kepada soal pemakanan tetapi turut merangkumi barang kegunaan harian seperti sabun, alat solek, barangan kulit, alat tulis dan banyak lagi untuk saya senaraikan semuanya. Ketegasan pihak JAKIM, penting dalam menjaga kepentingan umat Islam di negara ini kerana ia membabitkan soal hukum dan bukan peraturan manusia. Apa yang dikesalkan ialah setiap kali serbuan dibuat ke premis penyediaan makanan, jenama makanan tidak pernah didedahkan.

Serbuan ke atas sebuah kilang membuat mi satu ketika dulu yang terletak bersebelahan kandang babi dipaparkan di semua media cetak dan elektronik. Namun jenama mi tidak pernah didedahkan. Lebih menyakitkan hati bila JAKIM turut mengeluarkan kenyataan agar pengguna diminta lebih berhati-hati dalam memilih makanan agar tidak terbeli mi yang tidak halal.

Bagaimana pengguna dapat mengetahui jenama mi mana yang diserbu jika ia tidak didedahkan? Apatah lagi jenama mi itu turut menggunakan logo halal? Saya turut menerima e-mel yang memaklumkan jenama mi itu, namun sejauh mana kebenarannya saya tidak tahu kerana tiada gambar pegawai JAKIM memegang bungkusan mi itu.

Apa yang saya pasti jenama itu masih berleluasa dijual meskipun selepas serbuan dibuat. Dalam soal ini siapa yang ingin dilindungi oleh JAKIM, peniaga yang dikhuatiri menanggung rugi atau pengguna yang akan terus memakan makanan jijik itu?
Diharapkan pihak JAKIM lebih bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan umat Islam di negara ini. Berada di negara sendiri yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, seharusnya mendapat makanan halal bukan satu masalah.

Cukuplah penipuan yang sekian lama dilakukan ke atas umat Islam di negara ini. Mudahkan laluan produk Bumiputera di pasaran yang selama ini kelihatan disekat.

SUKOSENSEI,
Rawang.

No comments:

Post a Comment