Bertindak segera sekat laman lucahSITI
Rawang, Selangor
SAYA memiliki sebuah pusat teknologi maklumat (IT) di Rawang dan telah beroperasi semenjak Jun 2003. Di samping perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat, saya turut menyediakan kemudahan Internet kepada pelanggan.
Meskipun pelanggan membayar kemudahan Internet yang saya sediakan, namun saya tetap mengenakan sekatan terhadap laman web yang dilayari. Saya menampal poster-poster "web lucah tidak dibenarkan di sini."
Saya sendiri tidak mampu menyekat kerana perisian untuk menyekat laman-laman web tersebut mahal harganya. Umum tahu di negara kita tiada sekatan terhadap laman web lucah meskipun banyak usul telah dikemukakan.
Sebagai pengusaha IT saya ingin berkongsi pengalaman yang telah saya lalui sepanjang mula beroperasi. Perniagaan saya tidaklah sebesar mana. Sekadar sebuah pusat IT kecil di bandar Rawang dengan jumlah komputer 18 unit, kami berniat menyediakan kemudahan mengakses Internet bagi mereka yang ingin mendapatkan bahan untuk mereka yang bekerja, para pelajar atau pun yang mencari pekerjaan.
Pendek cerita dengan hanya duduk di hadapan komputer, kita boleh menguasai dunia di hujung jari. Tidak terkecuali juga dengan laman-laman porno yang jumlahnya sahaja mencecah jutaan capaian.
Pembaca mungkin terperanjat jika saya katakan laman porno bukan sahaja digemari golongan muda tetapi turut mendapat tempat di hati datuk-datuk yang sudah putih ubannya. Saya rasa bersalah dengan rezeki yang saya terima bagaikan berniaga bahan lucah.
Saya pernah menangkap pelajar sekolah tahun 4 dari sekolah berhampiran sedang melayari laman porno. Saya mengambil nama dan menghubungi pihak sekolah terbabit untuk tindakan lanjut. Saya juga tidak mempunyai masalah untuk menegur warga asing seperti Vietnam, Nepal, India dan lain-lain yang melayari laman porno kerana mereka ini kebiasaannya akur dengan teguran. Namun masalah timbul bila bangsa saya sendiri yang melayari laman porno.
Saya kurang bersetuju jika dikatakan remaja Melayu mendominasi penggemar laman web porno sama ada di rumah mahupun di kafe siber. Jika berdasarkan pengalaman di pusat IT saya sendiri, peratusan tertinggi ialah kaum India diikuti Melayu dan Cina (kaum Cina kurang menggunakan kemudahan Internet di tempat saya).
Tidak terkecuali golongan yang menggemari laman web porno ini ialah mereka yang memegang gelaran ustaz! Mungkin kita terperanjat tetapi hal ini fenomena biasa bagi lelaki?
Apa pun ceritanya, kesimpulan di sini ialah laman porno memang menjadi kegemaran terutama mereka yang bergelar lelaki. Itu cuma cerita saya yang sekelumit.
Bagaimana pula cerita mereka yang menggunakan Internet di rumah? Berkurung berjam-jam di bilik? Anak-anak yang dibekalkan dengan kemudahan komputer dan Internet untuk tujuan pembelajaran? Sekarang ini capaian menjadi lebih cepat dengan kewujudan jalur lebar sehingga 4 megabite di rumah.
Bukan sekadar melayari laman-laman porno ini malah mereka sendiri boleh menghasilkan laman-laman porno dengan mewujudkan kelab-kelab dengan menarik seberapa ramai ahli yang mungkin dan apa yang saya dengar laman-laman web begitu mendapat sambutan di kalangan remaja.
Apa kesudahannya cerita begini? Sampai bila kes-kes buang bayi, pasangan bukan muhrim ditangkap khalwat, kes-kes cabul, rogol dan bunuh menghiasi media cetak dan elektronik? Setiap kali berita begini tersiar, masyarakat akan mula bercakap dan ia lenyap seketika sehingga timbul kes-kes baru dan mereka bercakap lagi dan akan ada pelbagai usul.
Di pihak atasan mula membincangkan pendidikan seks di sekolah. Anak-anak bakal ditambah lagi silibus baru setelah yang sedia ada cukup membebankan. Bagi masyarakat yang marah pula mencadangkan agar mereka yang merogol di hukum kasi. Dan segala pro dan kontra menghiasi dada-dada akhbar.
Dan bagi saya sendiri? Kami penat memberi teguran kepada pelayar-pelayar tegar ini. Kami mengharapkan sekatan segera dilaksanakan terhadap laman porno ini. Tidak ada faedahnya langsung kepada masyarakat.
Saya sangat hairan kenapa negara China yang bukan berstatus negara Islam adalah negara terawal mengambil langkah menyekat laman porno ini. Dan yang terbaru diikuti oleh Myanmar, Korea Utara, Vietnam, Mesir, Iran, Syria, Saudi Arabia, Turkmenistan, Uzbekistan, Cuba dan Tunisia.
Ketahuilah, kebanjiran laman porno yang begitu mudah diakses ini adalah antara penyebab utama kepada keruntuhan moral remaja masa kini. Remaja yang sedang meningkat naik akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat.
Harapan saya dan jutaan lagi rakyat Malaysia, sudah tiba masanya perlaksanaan tapisan kepada Internet dilakukan. Sangat memalukan bila kita mendukung sebuah negara yang meletakan Islam sebagai agama rasmi tetapi dalam masa yang sama kisah remaja Islam mengandung di sekolah-sekolah, isu bayi dalam longkang dan pelbagai lagi kisah keruntuhan moral menjadi tajuk santapan setiap hari di akhbar-akhbar.