Friday, December 21, 2012

Cuti-cuti Disember 2012

15 Disember 2012

Kami mulakan perjalanan kami pada 15 December 2012 jam 8.30 malam. Singgah di Bukit Beruntung Selangor untuk makan malam sebelum meneruskan perjalanan ke utara Semenanjung pada jam 9.30 malam. Keadaan kesihatan yang masih lagi demam-demam tidak menjadi penghalang pada perjalanan yang telah dirancang awal. Tarikh dipilih bagi memudahkan perjalanan kerana suami juga ada urusan di Pulau Pinang.


Restoran di Bukit Beruntung sebelum memulakan perjalanan ke utara 
Kami singgah di Sungai Perak R & R pada jam 1.45 pagi bagi menghirup minuman panas sebagai pemanas badan dan menghilangkan mengantuk memandu malam. Saya menjadi pemandu pertama kerana belum mengantuk. Bertukar tangan dengan suami sebaik menerus perjalanan dari Sungai Perak R & R.


R & R Sungai Perak - Plus Highway 1.30 am
Kami seterusnya mengambil exit Alor Setar sekitar jam 4 pagi. Cuba tidur di tepi highway tapi mata enggan lelap. Suami mengambil keputusan terus ke Wang Kelian.  Sebelum tiba di Wang Kelian kami melalui jalan yang berbukit-bukit tanpa rumah orang atau sebarang bangunan. Kiri kanan jalan hanya hutan-hutan. Sangat menakutkan kerana jalan sangat sunyi di awal pagi begitu. Tiada kenderaan kecuali kami. Cuma dibimbangi kehadiran insan-insan yang berniat tidak baik terhadap kami. Namun syukur kepada Allah swt.. kami selamat tiba di pos immigresen Wang Kelian tepat jam 6 pagi. Tiada kereta pengunjung lain kecuali kami yang terawal tiba di situ.


PERLIS 16 Disember 2012

Jalan berbukit-bukit yang sunyi dengan hutan di kiri dan kanan jalan menuju ke Wang Kelian 

Wang Kelian 16 Disember 2012


Wang Kelian 6 pagi 16 Disember 2012
Setengah jam berlalu 2 buah kereta menyusul. Budak-budak muda dari 'Taiping Perak menjadi peneman kami. Dapat juga kami berbual.

Wang Kelian ialah sebuah tempat di utara Semenanjung dan terletak di negeri Perlis Indera Kayangan dan bersempadanan dengan negara Thailand selain Padang Besar. Istimewanya Wang Kelian ialah, rakyat di dua negara iaitu Malaysia dan Thailand dibenarkan memasuki kedua-dua negara ini tanpa sebarang dokumen dan mesti berada dalam lingkungan 1 hingga 2 km radius pada setiap Sabtu dan Ahad.  Dasar yang dipersetujui antara Thailand dan Malaysia adalah kerana mereka mempunyai tali persaudaraan kedua-dua pihak.


Wang Kelian 7.30 pagi - sebelum memasuki Thailand

Jam 7 pagi suasana di pos Immigresen Malaysia mula bising dengan kenderaan yang mula membanjiri kawasan sekitar bagi mendapatkan parking. Kami bernasib baik kerana tiba awal. Jika tidak terpaksa parking di bawah bukit dan berjalan kaki agak jauh untuk ke pos masuk.

Dalam masa yang sama saya mendapati talian telefon bimbit saya telah diambil alih oleh DTAC dan juga AIS network meskipun masih berada di kawasan Malaysia. Bahasa Thai menguasai kedua-dua telefon bimbit saya.


Bersiap sedia memasuki Thailand sebaik pos immigresen dibuka kepada awam.
Tepat jam 8 pagi pos immigresen dari kedua-dua negara dibuka. Kami mula bergerak masuk ke Thailand manakala warga Thai mula bergerak memasuki wilayah Malaysia. Sesuatu yang sangat menarik menyaksikan seakan pertukaran warga negara. Tiada pegawai penguatkuasa dari kedua-dua negara memeriksa kami. Mereka sekadar memerhati dan sudah semestinya pemantauan dibuat menerusi cctv yang dipasang. Sungguhpun ia memudahkan urusan warga kedua negara untuk membeli belah di sempadan namun pastinya ada yang mengambil kesempatan di atas kelonggaran ini bagi membolosi sempadan.


Warga Thailand yang ingin memasuki Malaysia dengan kenderaan dan melabihi  2 km radius  perlu mendapat  kebenaran dengan mengemukakan passport dan dokumen lagi terlebih dahulu
Mula melepasi pos immigresen Malaysia
Saya juga dapat melihat ramai warga Thailand menggunakan mountain bike memasuki Malaysia dengan pakaian sukan. Mungkin atas alasan berbasikal  di Malaysia.


Warga Malaysia memasuki Thailand manakala bertentangan ialah warga Thailand yang memasuki Malaysia
Di sepanjang 2 kilometer dari pos immigresen kedua negara menempatkan gerai-gerai jualan yang menjual pelbagai jenis produk dari kedua negara. Terdapat juga barangan yang sama di jual di gerai kedua-dua negara. Pada penglihatan saya gerai-gerai kita lebih tersusun dengan menggunakan payung-payung yang dibekalkan oleh FAMA selain terdapat bangunan kekal yang menempatkan lot-lot kedai di dalamnya. (Terlupa diambil gambarnya kerana leka memerhati...). Suasana begini dilihat dapat memeriahkan aktiviti di sempadan selain dapat merapatkan hubungan 2 negara.


Kami bersarapan sebelum membeli belah


Welcome to Thailand menyambut kedatangan pelancung dari Malaysia
Selesai sarapan di sebuah gerai di negara Thai, kami mula meninjau barangan yang dijual di gerai-gerai. Beraneka jenis barangan yang dijual. Paling mendapat sambutan ialah toto dan juga periuk-periuk. Saya tidak membeli toto mahupun pinggan.. sekadar lihat-lihat barangan yang dapat memikat hati saya..
Kelengkapan dapur mendapat sambutan paling hangat dari rakyat Malaysia
Selain toto dan periuk belanga, gerai-gerai turut menawarkan barangan perhiasan wanita, makanan dan minuman, barangan kraftangan tempatan,dan banyak lagi. Melihat anak-anak saya gembira memilih barangan sudah cukup untuk saya memahami mereka sedang berseronok!
Barangan cenderamata menjadi kegemaran anak-anak saya

Toto juga antara barangan yang mendapat permintaan tinggi rakyat Malaysia


Barangan kraftangan penduduk Thai

Bas membawa pelancung Thai  untuk masuk ke Malaysia
Tawar menawar juga giat berlaku antara pengunjung dan pekedai. Bagi yang pandai menawar dan bernasib baik akan mendapat harga yang jauh lebih murah dari yang ditawarkan pada mulanya.


Deretan kenderaan milik warga Thai

Troli masih kosong
Masih terdapat banyak gerai jualan yang belum dibuka. Jam baru menunjukkan 8 lebih di pagi hari. Saya juga dapat melihat deretan kenderaan yang diparking di kiri kanan jalan. Kenderaan tersebut mungkin juga milik pengusaha kedai atau orang awam yang ingin memasuki Malaysia. Terdapat juga bas-bas yang disewa khas bagi membawa warga Thai memasuki sempadan. Meriahnya Wang Kelian...!!!


Matahari mula tinggi
Saya telah membeli shopping trolly sebelum memasuki Thailand. Persiapan awal perlu bagi mengelak terpaksa mengheret barangan yang menyeksakan...Tujuan kami tiba awal pagi juga bagi mengelak cuaca  panasnya yang dikatakan melebihi 40 darjah celcius. Sejuk di awal pagi membantu memudahkan perjalanan kami..


Durian Thai yang dikatakan diperam dan bukan gugur dari pokok

Saya menjangkakan motor ini milik si gadis

Peralatan seperti cangkul turut dijual di sini
Deretan basikal turut dijual

Barangan kraftangan warga Thai

Ikan bilis juga ada di sini. Macam pasar malam ..

Kereta patrol polis Thai agaknya... mampukah ia mengejar penjenayah?

Border Patrol Police 

Motor mengangkut penumpang
Saya juga mendapati terdapat warga Thai yang menyediakan perkhidmatan motobike bagi tujuan mengangkut penumpang yang ingin keluar dari Thailand ke Malaysia. Bayaran yang dikenakan ialah RM2.00. Mereka yang terpaksa meletak kenderaan jauh di bawah bukit biasanya akan menggunakan perkhidmatan ini bagi membawa mereka turun bersama barang yang dibeli.

Terdapat banyak barangan larangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke  Malaysia

Van penumpang warga Thai disediakan bertujuan mengangkuk penumpang Thai yang  membeli belah di sebelah  border Malaysia
Kerjasama kerajaan Thai dan Malaysia memudahkan pergerakan kedua-dua negara

Dah penat shopping dan bersedia untuk meninggalkan Wang Kelian 

Kesesakan berlaku di pintu masuk Wang Kelian

Kereta yang diletakkan dibahu-bahu jalan..


Kunjungan kami pada hari ini ke Wang Kelian membawa kenangan yang sungguh indah! Post saya seterusnya di bawah tajuk-tajuk yang berbeza.

No comments:

Post a Comment