Friday, July 17, 2009

Tarif Elektrik Naik Lagi?

KUALA LUMPUR, July 17 - Malaysian electricity tariffs will be raised as the government looks to cut subsidies on fuel prices, a newspaper reported on Friday, quoting a minister.
"Fuel price movements are the main factors for the electricity tariff revision," Energy Minister Peter Chin was quoted as saying in the Business Times newspaper....petikan ..Reuters

Berita hari ini memaparkan bahawa tarif elektrik akan naik lagi setelah kerajaan bercadang untuk mengurangkan kadar subsidi ke atas minyak.
Saya masih ingat suatu waktu dulu pihak TNB memohon untuk menaikkan kadar elektrik kerana mengalami kerugian berikutan harga minyak dunia yang melambung tinggi. Waktu itu kita bukan sahaja dibebankan dengan harga petrol yang melambung tinggi, tapi ia kemudiannya disusuli dengan kenaikan tarif elektrik, tarif air, tol dan paling teruk kenaikan harga barang yang sehingga kini tiada kesudahan.

Tidak lama kemudian, harga minyak dunia jatuh dibawah paras sebelum berlaku kenaikan dan meskipun kini terdapat kenaikan namun ia masih ditahap seperti sebelum kenaikan mendadak berlaku. Meskipun begitu, kejatuhan harga minyak tidak membawa kepada penurunan harga petrol di Malaysia akibat dari harga petrol kini ditetapkan mengikut nilai pasaran kerana subsidi yang diberi oleh kerajaan telah ditarik kepada 30 sen seliter.

Namun setelah kejatuhan harga minyak di pasaran dunia terdapat tekanan dari pelbagai pihak akan tarif elektrik diturunkan berikutan banyak negara jiran mengambil sikap menurunkan tarif elektrik namun jawapan dari pihak TNB ialah kejatuhan harga minyak tidak membawa kesan kepada TNB kerana mereka bergantung kepada arangbatu sebagai bahan bakar utama. Namun jika mereka ingin menaikkan tarif elektrik, alasan yang diberikan ialah harga minyak dunia naik dan kini alasannya kerana pihak kerajaan ingin memotong kadar subsidi ke atas minyak. Sangat hairan kerana kami pengguna sering diperbodohkan!

Diikuti dengan kejatuhan ekonomi dunia, kehidupan rakyat kini sangat terkesan terutama sekali bagi yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kita mengakui kejadian ini bukan sahaja berlaku di Malaysia namun di seluruh dunia dengan ramai yang menganggur akibat kehilangan pekerjaan, peniaga gulung tikar akibat kerugian dan jutaan lagi lepasan universiti yang menganggur akibat tiada peluang pekerjaan.
Semalam kerajaan telah mengumumkan harga baru bagi tambang pengangkutan awam dan tentunya diterima dengan hati yang sangat berat oleh para pengguna yang kini telah terbeban dengan masalah meneruskan kelangsungan hidup.
Saya cuma ingin bertanya adakah dalam waktu-waktu susah begini rakyat perlu lagi dibebani dengan berbagai-bagai kenaikan yang sudah tentunya disusuli dengan berbagai kenaikan lain.

Baru-baru ini saya didatangi oleh seorang kanak-kanak India berusia dalam lingkungan 12 tahun di pejabat saya memohon mencuci kereta saya bagi membeli makanan. Dia memberitahu saya tidak mempunyai wang untuk membeli makanan kerana datang dari keluarga yang susah. Dua hari selepas itu saya didatangi lagi seorang warga emas memohon pekerjaan sebagai tukang cuci. Kehidupannya bertambah sukar ekoran kenaikan harga barang. Anak-anak sudah berkahwin dan tidak dapat membantu kerana kehidupan mereka juga sukar. Beliau adalah ibu tunggal dan terpaksa menyara 2 orang cucu kerana anak lelakinya yang telah bercerai tiada pekerjaan tetap. Itu adalah antara rencah-rencah kehidupan dan banyak lagi jika ingin dipaparkan yang barangkali terlepas pandang oleh pihak-pihak tertentu.

Sebagai satu-satunya syarikat yang diberi hak monopoli ke atas pembekalan sumber tenaga elektrik ke seluruh negara apa sangatlah beban yang ditanggung oleh mereka berbanding jutaan keuntungan yang diumumkan suatu waktu dulu oleh pihak TNB sendiri.


Kenaikan tarif elektrik selain membebankan pengguna turut menyebabkan tindakan segelintir pihak mengambil tindakan yang bukan sahaja membahayakan nyawa tetapi turut menyalahi undang-undang. Kejadian mencuri bekalan elektrik pastinya berlaku dan mereka yang berkemahiran akan mula mendapat durian runtuh untuk kerja-kerja haram tersebut.



Selain dari itu, produk-produk penjimatan elektrik tentunya akan kembali mendapat tempat di pasaran. Saya sendiri tidak tahu sejauh mana benar dan berkesannya produk tersebut dan adakah ia sah digunakan. Yang pasti ramai yang membeli dengan harga mencecah ratusan ringgit dengan tujuan mengurangkan kos elektrik. Maklum balas yang saya terima dari mereka yang pernah membeli menyatakan bagai tiada perubahan kepada bil elektrik dan tidaklah seperti yang digembar gemburkan. Sekali lagi pengguna tertipu dan yang mengaut untuk adalah syarikat-syarikat pembekal.

Pihak TNB sepatutnya berusaha mencari altenatif lain bagi mengurangkan kos menghasilkan sumber tenaga. Sebagai sebuah syarikat monopoli mereka sepatutnya tidak hanya memikirkan keuntungan semata-semata. Kesusahan rakyat yang dibebani satu demi satu kenaikan seharusnya diambil kira. Berilah kami ruang untuk bernafas diwaktu-waktu sukar begini. Janganlah ditambah lagi dengan berbagai kenaikan. Ada ibu bapa yang tidak mampu lagi membayar tambang bas sekolah anak-anak. Ada anak-anak yang dimarahi pemandu bas kerana tambang bas tidak dibayar oleh ibubapa dan disuruh turun setelah sekian lama menaiki bas secara percuma. Tidak kurang juga pelajar yang terpaksa mengikat perut ke sekolah kerana tiada wang belanja dibekalkan.

Cerita-cerita begini tentunya mencuit hati kita dan diharapkan turut mencuit pihak-pihak yang terlibat dalam membuat keputusan. Janganlah kami disuruh menerima apa saja keputusan yang dibuat kerana bila tiba masanya kami juga boleh membuat keputusan yang terpaksa diterima!

No comments:

Post a Comment